KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan ekonomi negeri pada masa depan.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pembangunan bakat tempatan berkemahiran tinggi penting bagi memastikan generasi muda bukan sahaja mampu mengisi peluang pekerjaan bernilai tinggi, malah berupaya menerajui industri masa depan.
Katanya, ketika Sabah terus mengejar pertumbuhan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, pembuatan, teknologi, logistik, pelancongan dan ekonomi digital, keperluan terhadap tenaga kerja dengan pengetahuan serta kemahiran khusus semakin meningkat.
“Melalui pemantapan STEM dan TVET, laluan kerjaya bernilai tinggi akan diwujudkan, sekali gus memastikan generasi muda berpeluang mengambil bahagian, malah berupaya memimpin industri masa hadapan.
“Infrastruktur boleh dibina, pelaburan boleh ditarik dan industri boleh dibangunkan, tetapi akhirnya bakat tempatan yang berdaya saing adalah pemacu kepada kemajuan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan ConocoPhillips STEM Forward 2026 di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru, di sini, Isnin lalu.
Masidi turut memuji ConocoPhillips Malaysia atas kejayaan melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar Sabah menerusi ekosistem STEM, termasuk pendedahan kepada pengalaman serta persekitaran industri sebenar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ConocoPhillips Malaysia dan rakan strategiknya atas komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan STEM di Sabah menerusi STEM Forward 2026, yang disifatkan sebagai pelaburan penting untuk masa depan negeri.
Pada majlis itu, Masidi menyaksikan penyerahan Modul Matematik dan Sains STEM Preppers kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sebagai usaha memperkukuh pembelajaran STEM di sekolah.
Beliau turut menghargai peranan warga pendidik yang menjadi tunjang kejayaan program menerusi dedikasi membimbing pelajar dan menyemai minat terhadap bidang STEM.
Dalam pada itu, Masidi menasihatkan pelajar supaya memanfaatkan peluang berinteraksi dengan jurutera serta profesional tempatan yang berjaya membina kerjaya di peringkat global.
“Mereka pernah berada di tempat anda hari ini, dengan impian dan cita-cita. Menerusi usaha gigih, tekad dan pendidikan, mereka membuktikan bahawa latar belakang tidak menentukan had anda dan peluang besar sentiasa berada dalam capaian sekiranya anda bersedia untuk belajar dan mencabar diri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan pelaksanaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan industri.
Dalam majlis sama, Masidi menyampaikan hadiah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac yang dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Robotics Outreach & Advancement Readiness (ROAR).
Pasukan berkenaan seterusnya akan mewakili Sabah ke pertandingan FIRST LEGO League di Kuala Lumpur pada Oktober depan.
Hadir sama Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn, dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan.
Keterangan gambar:
– Masidi menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penutupan ConocoPhillips STEM Forward 2026.
– Connor (kiri) menyerahkan modul pembelajaran STEM kepada Abidin (kanan), disaksikan Masidi (tengah).
– Pelajar SMK Sanzac yang muncul juara pertandingan ROAR.
– Masidi (tiga dari kanan) melihat hasil ciptaan pelajar SMK Sanzac.




Source: Sabah360 Online