MUHAMMAD Imran Shahnaz dari Asia Pacific Smart School, Selangor muncul juara kebangsaan Pertandingan Pidato Piala Pembangunan 2026, sekali gus merangkul Anugerah Pemidato Terbaik menerusi persembahan cemerlangnya di pentas akhir.
Kejayaan itu menyaksikan Imran mengatasi 14 peserta lain dalam kalangan 15 finalis yang berjaya mara selepas melalui tiga peringkat pertandingan, melibatkan lebih 300 sekolah di seluruh negara.
Dianjurkan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerjasama Yayasan PINTAR, pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat generasi muda yang mampu berfikir secara kritis, berhujah dengan matang dan menyampaikan idea dengan yakin.
Ketua Pegawai Strategi Kumpulan BPMB, Datuk Wira Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, tanggungjawab institusi itu dalam pembangunan negara bukan sekadar menyediakan pembiayaan dan membangunkan infrastruktur, malah turut merangkumi usaha membentuk potensi generasi muda.
Menurutnya, kemahiran berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan jelas dan menangani isu kompleks amat penting dalam melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Dari 12 sekolah ke pentas kebangsaan
Sejak diperkenalkan pada 2023 dengan penyertaan hanya 12 sekolah, Piala Pembangunan berkembang menjadi pertandingan kebangsaan yang melibatkan sekolah dari kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.
Penyertaan meningkat kepada 35 sekolah pada 2024 sebelum diperluas ke seluruh negara pada 2025.
Edisi tahun ini turut memperkenalkan pusingan separuh akhir buat julung kalinya bagi menguji kemampuan peserta berfikir secara spontan dan menjawab soalan juri dalam situasi mencabar.
Jika peringkat saringan menilai penyampaian pidato yang disediakan serta kebolehan menjawab soalan, pusingan separuh akhir pula memberi tumpuan kepada pengucapan spontan. Di pentas akhir, peserta perlu menggabungkan pidato persediaan, pidato spontan dan sesi soal jawab.
Bukan sekadar pertandingan pidato
Menariknya, topik yang diketengahkan berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), merangkumi isu sosial, alam sekitar dan ekonomi.
Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar memahami isu semasa dengan lebih mendalam, selain melatih mereka menyampaikan pandangan secara jelas dan berfokus.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas berkata, pertandingan itu turut menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 dalam memperkukuh kemahiran berfikir, komunikasi dan keyakinan diri pelajar.
Inisiatif itu juga melengkapi agenda reformasi pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta menyokong aspirasi ekonomi MADANI.
Seiring perkembangan pertandingan itu, Kumpulan BPMB menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pendidikan, keterangkuman, kemampanan dan pembangunan belia sebagai sebahagian daripada usaha membina masa depan negara yang lebih baik.
Source: Utusan TV
