TANJONG SEPAT, 31 Julai (Bernama) – Serama 15,460 siswazah atau 42 peratus daripada kesuluruhan pencari pekerjaan di portal pencarian perkerjaan nasional MYFutureJobs mengalami masalah ketidakpadanan, setaka 14 Julai lepas.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata masalah ketidakpadanan itu meliputi siswazah yang mendapat pekerjaan dalam bidang separa mahir dan rendah serta bergaji RM2,000 ke bawah.
Sivakumar berkata kementeriannya melihat perkara tersebut perlu tindakan intervensi lebih awal termasuk membimbing pelajar membuat pemilihan bidang pengajian yang akan diceburi di peringkat institusi pengajian tinggi.
Beliau mengambil contoh bidang keselamatan siber yang ketika ini mempunyai kekosongan lebih 10,000 jawatan kerana tidak ramai belajar berminat menyambung pengajian ke bidang itu, sebaliknya mereka lebih memilih bidang pengajian yang sama sehingga mengalami lambakan di pasaran kerja.
Justeru, katanya Program ‘Career Exploration’ yang dilancarkan beliau hari ini satu daripada inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendekati dan mendedahkan pelajar sekolah menengah bagi pemilihan aliran kerjaya yang tepat.
“Program Career Exploration in dibangunkan melalui pendekatan ujian psikometrik untuk mewujudkan kesedaran potensi diri dalam kalangan pelajar seterusnya dijadikan panduan dalam pemilihan institusi pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut di sini hari ini.
Menerutnya, sebagai permulaan, PERKESO bersama-sama PINTAR Foundation akan melaksanakan program itu di 11 sekolah menengah terpilih di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Pahang melibatkan lebih 1,000 pelajar pada tahun ini.
“Kita akan melihat hasilnya nanti, sekiranya memberangsangkan kita akan melaksanakannya di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA
Source: BERNAMA